
Kerana begitu sedikitnya jumlah mereka di tengah masyarakat, disebutlah mereka dengan Ghuraba (orang-orang yang asing).
Orang yang benar-benar beriman di kalangan orang Islam sendiri, mereka adalah asing.
Demikian pula, para ulama di tengah orang-orang yang benar-benar beriman, mereka adalah asing.
Orang yang berdakwah mengajak kepada sunnah Rasulullah saw dan bersabar terhadap gangguan orang-orang yang menyelisihi mereka adalah orang yang paling asing.
Keasingan mereka hanyalah di tengah majoriti.
Mereka ganjil bukan sebab mereka salah.
Mereka ganjil kerana mereka berbeza berbanding yang ramai.
فَلَوْلاَ كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِن قَبْلِكُمْ أُوْلُواْ بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الأَرْضِ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّنْ أَنجَيْنَا مِنْهُمْ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مَا أُتْرِفُواْ فِيهِ وَكَانُواْ مُجْرِمِينَ
“Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.” [Hud 11: 116]
Ayat ini bercerita tentang sekumpulan manusia asing di tengah masyarakat. Mereka ganjil kerana ketika manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup, kelompok ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran.
Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka adalah minoriti.
Majoriti memilih maksiat dan kerosakan.
Minoriti ini menyeru kepada ketaatan dan kemuliaan hidup.
Mereka inilah GHURABA!
Kerana itulah Rasulullah saw bersabda:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini” [Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani]
Baginda ditanya, “Siapakah orang-orang yang asing itu?”
Baginda menjawab, “Itulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak.”
[Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’oud. Dinilaikan sahih oleh al-Albani]
Di dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab, “Iaitu mereka yang menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia”
Juga dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab, “Mereka adalah kumpulan kecil di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih ramai daripada yang mengikutnya”.
Sudahkah kamu mengenali orang-orang yang terasing ini?
Salah satu kelompok orang-orang beriman yang terasing di dalam masyarakat Islam sendiri adalah ahli-ahli sufi yang benar.
Pada awal Rasulullah saw membawa Islam, ia dilakukan secara tersembunyi dan rahsia.
Kerana sememangnya ada banyak perkongsian yang belum sesuai untuk orang awam. Kerana tahap pemikiran dan hati seseorang juga berbeza-beza yang memungkinkan lebih silap faham berlaku.
Jadi, hanya yang sudah berhak tahu sahaja akan mengetahui apabila sampai masanya.
Lebih mudah ianya disebarkan kepada ahli keluarga terdekat, sahabat atau orang-orang yang mahu tahu serta terbuka akal dan hatinya (diberi petunjuk/hidayah).
Di dalam al-Quran sendiri sering ada perkataan atau ayat yang maksudnya ‘berakal' dan ‘beriman'.
Bukan berakal bermaksud waras (tidak gila), tetapi ia boleh juga ditafsirkan sebagai berfikir, menggunakan akal fikiran dengan baik atau pemikiran yang sudah mampu menerima dan memproses ilmu tersebut.
Apabila melibatkan perkara ghaib (yang tidak dapat dilihat), sebahagian akan percaya dan sebahagian lagi tidak percaya (mahukan bukti).
Perkara yang ghaib pula, sukar untuk dibuktikan kerana ianya ghaib. Inilah sebabnya perjalanan ini perlu dilalui sendiri oleh individu. Saksikanlah sendiri kebenaran Allah dan rahsia-rahsianya.
Bukankah hidayah itu milik Allah? .
Kita hanya sebatas menjalankan tugas masing-masing di dunia.
Hanya Allah sahaja yang akan membuka mata fikiran dan mata hati seseorang
Jika ahli sufi menonjolkan diri di kalangan orang awam (berhujah, mempamerkan amalan atau seumpamanya), mereka mungkin dianggap gila atau sesat. Hanya kerana mereka melakukan sesuatu yang tidak difahami atau tidak diajarkan sebagai amalan masyarakat awam. Inilah juga yang boleh menimbulkan fitnah.
Untuk mengelakkan fitnah, mereka terus berhati-hati dan menjaga diri.
Mereka juga cuba untuk mengelakkan daripada orang-orang yang tidak faham, daripada berdosa memfitnah di atas ketidakfahaman mereka walau tidak sengaja.
Ahli sufi yang benar, pegangan hidupnya akan selari al-Quran dan Muhammad Rasullulah saw. Malah mungkin dengan pemahaman yang lebih mendalam (berbanding para ilmuan), kerana mereka inilah golongan yang diberi kefahaman ilmu, hikmah kebijaksanaan dan makrifat.
p/s : Walaupun Allah sudah membuka pintu-pintu kebenaran dan rahsia itu untuk kamu (sufi) tahu dan fahami, dan kamu sangat-sangat ingin keluargamu melaluinya juga. Kamu pasti sedar, tiada langsung daya upaya mengubah sesuatu, melainkan terus berdoa dan terus berjuang untuk mereka.
Kamu tetap dapati al-Quran adalah panduan yang tepat dan Muhammad saw sebagai contoh terbaik untuk melalui perjalanan hidup. Disetai juga kisah hidup para nabi yang lain juga sebagai ingatan.
Maka teruslah berjuang mengikut caramu. Pastikan tidak lalai.
Semoga Allah terus memimpin kau dan aku, untuk tetap di jalan yang benar.
KATEGORI : NotaSufi
Discussion about this post